Arafah.
Padang yang menyaksikan
sejarah cinta sulung Adam dan Hawa bertemu.
Mewarisi ujian cinta di padang
pasir, Ibrahim meninggalkan teman setianya Hajar dan buah hatinya, Ismail
semata kerana Yang Esa.
Sekilas wajah Yusuf, bertaut tulus cintanya Zulaikha
beralih kepada Cinta Yang Maha Sempurna.
Tatkala Kerajaan Cinta antara
Sulaiman dan Balqis bersemi dek Cinta Yang Memiliki Kerajaan langit dan bumi
turut bersatu.
Terpateri Cinta Agung Muhammad cintanya untuk isteri dan
ummat yang dikasihi, meresap ke dalam hati-hati sehingga tiba belabuh ke hati.
Demikianlah sekeping hati setiap insan sehingga ke hari ini tidak pernah kering
menerima warisan cinta itu.
Subhanallah...
Madah cinta itu
sungguh seni dan puitis..
Kehadiran cinta yang semenjaknya di syurga mana
mungkin boleh ditolak oleh hati sedangkan ia adalah kurniaan Ilahi, anugerahnya
kepada hambaNya untuk menyempurnakan fitrah kejadian insani.
Fitrah ingin dicintai dan mencintai.
Andai hati ini tidak meminta untuk melintasinya, atau sekalipun membungkam
seribu doa, malah mengalihkan pandangan, dan mengunci bicara, ia tetap ada,
wujudnya sedia di batas hati setiap jiwa.
Kadangkala tanpa sedar, tanpa paksaan
ia hadir.
Adakah ini cinta? Tunggu sekejap!
Wahai hati yang hidup dengan suluhan iman...Berhati-hati, jangan tertipu oleh
penipu profesional iaitu nafsu dan bisikan syaitan! Keluarkan senjatamu.. DOA.
Ya itulah senjata mukmin. Maka berdoalah!
"Ya Allah, aku berlindung
kepada kalimatMu yang sempurna, dari apapun kejahatan yang Engkau
ciptakan." -Amin Ya Rabb-
Seutama-utama cinta itu adalah
Allah. Dia Yang menciptakan Cinta, maka cintanya adalah yang pertama dan utama.
Dialah yang selayaknya dicintai.
Allah pasti membalas cinta itu dengan
sifatnya Yang Maha Mengasihi.
Hingga hujung nyawa,
Aku tetap ingin menjadi pencintaMU,
Inginku isi rongga-rongga rindu ini,
Dengan madu cinta Pencipta Cinta,
Setiap hela nafas mengalir suci namaMU,
Tersemat utuh di hati tanpa noda,
Sucinya bersih menghiasi qalbu,
Penyuluh hidup, pengukir bahagia,
Tanpanya tiadalah segalanya,
Hingga hujung nyawa,
Ku ingin tetap bersama cintaMU.
Cinta itu hakikatnya suci,
kadangkala menguji hati seperti Saidina Ali dan Az-Zahra. Adanya sabar dan
tabah menyulami iman menterjemahkan kesetiaan di batas waktu yang menjadi
rahsia Allah. Dalam memilih cinta, ajaran nabi jadi garis panduannya. Perlu
bijaksana meletak prioriti cinta antara terutama dan utama.
Cita-cita jadi mahar cinta. Harapan
disampaikan melalui doa, memohon pilihanNya dalam sejadah istikharah,
musyawarah menetapkan kematangan dari yang berpengalaman, restu penjaga diri
tulus dipinta. Jangan dinoda oleh serakah jiwa yang lemah. Jujur pada pendirian
yang tidah tergugah.
Bijak mengurus, mengawal dan
menterjemah dalam bimbingan PEMILIK HATI juga perlu di ambil peduli.
Meng'upgrade' diri menjadi soleh atau solehah bukan kerana si dia, tetapi
berusaha menjadi soleh dan solehah semata kerana DIA. Ikhlas dan tawakal pada
pilihanNYA bukti pergantungan diri mensyukuri ketetapanNya. Bila dan siapa
jodoh itu, pasti bertemu cinta di Arafah RahsiaNya, kerana empunya diri yakin
pada janjiNya.
"Perempuan-perempuan
yang keji untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk
perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik
untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan
yang baik (pula).... "
(Surah an-Nur ayat 26)
(Surah an-Nur ayat 26)
Taqwallah dan tulus iktikad demi
REDHANYA pasti melestari ikatan ke Taj mahal Abadi.
Duhai manusia yang menyakini,
Teruslah mengemudi pelayaran dalam
mengabdi dan membangun diri serta agamamu,
Usah dirimu sibuk menoleh dunia
mencari raja atau permaisuri hatimu,
Masih banyak amanah dan tanggungjawab
yang dikau galas,
Dunia ini hanyalah sementara,
Di sisi Tuhanmu ada yang lebih baik.
Duhai Manusia Yang Paling Bahagia,
Bukankah pergantunganmu sudah dikau
letakkan kepada yang tidak akan buat dirimu kecewa,
Jika ya, usah bazirkan masamu tanpa
berkhidmat kepada TuhanMu,
Bertemanlah dengan kesabaran kerana
Tuhan Yang Satu,
Dia mengawasi dan menunjukimu setiap
waktu,
Kerana janjiNya, bahawa Dia bersama
orang yang sabar.
Duhai Manusia Yang Memiliki
Ketenangan,
Hadapilah kenyataan dengan penuh
keredhaan,
Dia Yang Maha Mengetahui ketetapan
terbaik buatmu,
Dikau kan bahagia dengan
mengingatiNya,
Kerana Dia memberikan cintaNya
padamu
Bertemu cinta manusia
Dalam CINTA Agung di sisiNya.
InsyaAllah...
Bertemu cinta dalam CINTA akan kekal
bahagia!
Ya Allah, jika benar DIA tetulis di Lauh Mahfuz sebagai zauji yang akan membimbingku ke SyurgaMu, maka Engkau satukanlah hatiku dan hati DIA agar kami bisa menjadi pasangan bahagia sehingga ke SyurgaMu...