I LoVe YoU DeAr...


Monday 28 February 2011

Impian Seorang Wanita...

Di dunia ini,
Ku cari cinta sejati,
Yang bisa membingkis kebahagiaan,
Ku cari makna tersirat,
Dibalik wadah cinta,
Yang tersemat disudut hati...

Di dunia ini,
Bukan harta yang ku idam,
Bukan wang yang bertakhta dihati,
Kerana aku tahu walau kita bergelar jutawan,
Namun,
Jika kebahagiaan tiada,
Tiada makna kita bersama...

Di dunia ini,
Bukan pangkat yang ku damba,
Bukan darjat yang terpahat dihati,
Kerana aku jua tahu,
Tiada erti bahagia jika darjat mengelilingi diri,
Namun,
Jika kegembiraan kita terhalang,
Tiada erti hidup bersama...

Di dunia ini,
Aku mencari sesuatu yang baik,
Yang bisa membanggakan kita di sana,
Kita,
Anak-anak kita,
Generasi kita,
Bukan wang dan harta,
Bukan pangkat dan darjat,
Aku mencari keturunan dan agama,
Keturunan yang baik,
Untuk masa depan mereka,
Agama yang teguh,
Untuk mendidik aku serta anak-anak aku,
Ke jalan Allah...

Kukuhkan dirimu wahai lelaki,
Dengan iman yang tebal dihati,
Dengan takwa yang tinggi didiri,
Pastikan dirimu wahai lelaki,
Penuh ilmu didada,
Semangat yang kental,
Agar bisa kamu membawa senjata,
Untuk menewaskan nafsu segala,
Untuk menewaskan musuh durjana,
Setelah kamu mendapatkan aku...

Jika cintamu itu bertatahkan kejujuran,
Bertiangkan kesetiaan,
Berpasakkan pengorbanan,
Maka bahagia menanti kita...
Namun, 
Jika cintamu itu hanya kerana harta, wang dan pangkat,
Neraka dunia yang kamu hadapi...

Madah hati seorang insan bergelar mujahidah...

Pantun Bermadah Cinta...

Berkebaya sunti lipatan selisih,
Bersama tetamu menonton wayang,
Cintaku sejati beralas kasih,
Kejujuran dirimu memutik sayang...

     Ke tanah Kedah mencari tinta,
     Singgah di Juasih berjumpa dayang,
     Puitis bermadah suara cinta,
     Dituai kasih dibaja sayang...

Ingin berbisan anak mamanda,
Lembut kata berbudi pekerti,
Tiada bosan perasaan dinda,
Mencari cinta seikhlas hati...

     Awanan cerah langit Sunda,
     Panahan mentari cahaya kebumi,
     Kasih ku curah bahagi tiada,
     Dibalik sanubari cinta bersemi...

Putera mahkota keluarnya petang,
Mencari selasih membawa belati,
Pabila mata mula bertentang,
Maka kasih jatuh ke hati...

     Pergi ke kota mencari baldu,
     Puteri Juasih bersama dayang,
     Menelan cinta berulam rindu,
     Membenih kasih bercambah sayang...

Pohonan sena tumbuh merata,
Ditanah Juasih terlihat bayang,
Akan kubina mahligai cinta,
Bertatah kasih bertiang sayang...

     Ke tanah Juasih bersama dayang,
     Berkebaya sulam corak melati,
     Kusimpan kasih kusimpan sayang,
     Kusimpan dalam lipatan hati...

Ke tanah Seberang bersama ratu,
Dibawa kundur dalam penampi,
Kanda seorang kasih yang satu,
Hingga tertidur dinda bermimpi...

     Berbaju inang berawan larat,
     Bertatah permata bercorak merapi,
     Makin kukenang rindu melarat,
     Air mata jatuh ke pipi...

<Bersambung...>

Madah Cinta Buat si Dia...

Cinta adalah sesuatu yang indah dan unik anugerah dari Ilahi. 
Kita diberi peluang untuk menilainya dan pergunakanlah peluang yang diberi dengan sebaik-baiknya untuk melahirkan satu larian cinta yang indah.
Seindah waktu ia diciptakan.

Cinta itu aneh. 
Sukar untuk ditafsirkan. 
Datangnya bukan dari paksaan, perginya pula tanpa kerelaan. 
Cinta itu penuh mesra dengan kasih sayang. 
Ianya perlu dibelai dengan kelembutan bagi menyerikan lagi keindahannya. 
Kekasaran boleh mencipta sebuah perpisahan.

Manusia kadang kala lupa, cinta adalah syarat berlangsungnya kehidupan perkahwinan. 
Malah, tanpa cinta, perkahwinan itu akan mati, ibarat rumah kosong tanpa penghuni.

Mungkin benar tatkala kita kehilangan barulah kita menyedari. 
Mungkin benar saat kita terluka barulah kita mengerti. 
Mungkin benar bila kita rasakan rindu yang sangat dalam barulah kita tahu seberapa besar makna dan erti seseorang bagi kita.

Cinta. 
Jika anda memilikinya, anda tidak memerlukan sesuatu pun yang lain. 
Dan jika anda tidak memilikinya, apa pun yang lain yang anda miliki tidak banyak bererti.

Jika kita kehilangan cinta, pasti ada alasan di sebaliknya. 
Alasan yang kadang-kadang sukar untuk dimengertikan. 
Namun percayalah bahawa ketika Dia mengambil sesuatu, telah Dia mempersiapkan sesuatu yang lebih baik untuk diberikan.

Cinta antara dua jiwa telah dikatakan boleh membakarkan semangat seseorang itu untuk memeliharakan akhlak yang mulia, memperbaiki pergaulan antara manusia dan menjaga adab dan keperibadiaan. 
Selain daripada itu, ia juga dipercayai dapat menghilangkan kekhuatiran dan ketakutan dalam hati, menjernihkan akal dan menyucikan jiwa kita.
Tetapi, cinta juga merupakan ujian, godaan dan cubaan kepada manusia kerana ia merupakan pertarungan dan pertimbangan di antara akal dan rasa.

Andai kata cinta itu sebuah pengorbanan,mengapa pengorbanan itu bukan noktah sebuah cinta? 
Andai kata derita itu harga sebuah cinta, mengapa cinta itu semakin sukar utk dimiliki? 
Cinta umpama kota kristal, indah di penglihatan , derita di perasaan.
Cinta tidak berupa tatapan satu sama lain, tetapi memandang ke luar bersama ke arah yang sama.
Cuaca yang panas menandakan cinta itu berpanjagan, tetapi cuaca tidak selalunya panas, hujan akan menyusuri juga walaupun telah kita cuba kekalkan keceriaan disiang hari.

Kadang-kadang malam itu suram tanpa bintang, tapi berseri dengan kehadiran bulan. 
Memang gelap dan malam menyepikan, menakutkan, tapi malam juga memberi banyak faedah kepada kita, tidak ada ertinya malam tanpa siang, lelaki tanpa perempuan, walaupun indah sesuatu ciptaan, tidak sempurna jika tidak diciptakan pasangan untuknya.

Pantun Bermadah Cinta...

Bercorak alam songket teruna,
Dari Kembayat usah disia,
Kasih bersulam seribu makna, 
Ke akhir hayat ingin bahagia... 

     Daun selasih gugur melayang,
     Ditanah rata dipohon persia,
     Bersulam kasih bermanik sayang,
     Bersarung cinta bertatah setia...

Anak mamanda mencari selasih,
Bersama dayang ke tanah Pagoh,
Pada kanda kucurah kasih,
Agar sayang semakin teguh...

     Mencari madu celahan dahan,
     Lebah tunda ke tanah rata,
     Hatiku rindu tidak tertahan,
     Kepada kanda jauh dimata...

Daunan layu pohonan ciku,
Jatuhnya pinang tepian kedangsa,
Terasa sayu degup jantungku,
Tatkala terkenang rindu terasa...

     Melihat bonda berlalu kekota,
     Pergi berdua bersama dayang,
     Walau kanda jauh dimata,
     Kukirim doa tandanya sayang...

Pergi bonda ke hujung jeti,
Hajat menyambut puteri nan baldu,
Wajah kanda tetap dihati,
Mulut menyebut terasa rindu...

     Hajat dipinta untuk kekota,
     Pergi si muda bersama bonda,
     Bermadah kata bersulam cinta,
     Buat kanda idaman dinda...

Dibawa sepeti ikan belukang,
Diperdu akasia rehatnya sunti,
Kasih dihati tak pernah lekang,
Dihujung usia dinda menanti...

     Hinggap rerama didahan meranti,
     Melihat berudu didaunan kiambang,
     Semakin lama mawar menanti,
     Semakin rindu pada si kumbang...

<Bersambung...>

CINTA...Apa itu Cinta???

CINTA...
Apa yang kau lihat pada CINTA???
Apa yang kau kagum pada CINTA???
Setelah lama kau memendam rasa...
Membiarkan dirimu hanyut dipandu CINTA...
Tidakkah kau terasa hina???
Membiarkan dirimu dikorban demi CINTA???
Bisakah CINTA mu itu memberi seribu makna dalam kehidupanmu???
Sucikah CINTA yang dikau berikan itu???
Atau hanya diatas nama CINTA semata-mata???

CINTA...
Aku tahu kau hadir dalam diri manusia..
Dengan rela mereka terima...
Namun...
Biasakah CINTA menyatukan agama???
Ya Allah, aku bersyukur padaMu...
Disaat ini Engkau menganugerahkan CINTA pada hambaMu...
Tapi aku gusar Ya Allah...
Kerana hambaMu tidak mengemudi CINTA yang Engkau berikan...
Ke jalan yang Engkau redhoi...
Ya Allah...
Aku jua hambaMu yang kerdil...
Serta mereka diluar sana...
Aku mohon padaMu Ya Allah...
Bimbinglah aku...
Bimbinglah mereka..
Dalam bahtera CINTA yang Kau berikan...

CINTA...
Engkau melalaikan aku...
Engkau melalaikan sahabat-sahabatku...
Engkau menarik aku serta mereka...
Ke kancah neraka...
Engkau biarkan manusia terus mengikuti hasratmu...
Engkau hanyutkan mereka...
Berdua di lorong nan gelap...
Bercumbuan di depan ramai...
Berpegangan tangan dikala bersama...
Kerana CINTA juga...
Ada manusia yang terus menolak syurga...

CINTA...
Dimana kesucianmu...
Dimana kebahagiaanmu...
Dimana kerelaanmu...
Daku tercari-cari...
Dimana itu semua...
Namun...
CINTA hadir setiap masa...
Aku keliru...
Mana satu CINTA palsu...
Mana satu CINTA hakiki...

CINTA...
Akanku sematkan dikau dihati...
Kerana Allah adalah kekasihku...
Akanku gilap dirimu...
Agar cahaya kesucianmu hadir dalam hidupku...
Dikaulah CINTA pada yang SATU...